Kartika......Antara Arak, Sebat dan Taubat

Kartika Terima Balasan Dunia

Bapa wanita pertama yang dijatuhi hukuman enam sebatan oleh Mahkamah Syariah Kuantan, Kartika Sari Dewi, mengakui hatinya bagai disentap bila mengetahui anaknya itu minum arak di khalayak ramai.

Apa yang dilakukannya sangat aneh dan mungkin tidak masuk akal. Mana tidaknya, hukuman enam sebatan ke atasnya bukan sahaja diterima dengan hati terbuka bahkan mahu ia dilaksanakan segera.

Bagi Kartika Sari Dewi Shukarno, 33, hukuman yang diputuskan Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan itu mesti dijalani.
Isnin lalu, Kartika dijatuhi hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan oleh Hakim Datuk Abdul Rahman Yunus selepas didapati bersalah mengambil minuman keras di khalayak ramai di sebuah hotel di Cherating, Pahang.

Tiada langsung hasrat untuk merayu malah kata Kartika, tidak pernah terlintas di fikiran untuk dia melarikan diri daripada menerima 'hukuman dunia' atas ketelanjurannya dua tahun lalu itu.

"Saya mengaku dan amat kesal dengan perbuatan itu. Ia bukan sahaja memalukan diri tetapi turut membawa penghinaan kepada seluruh keluarga saya.

"Saya harap hukuman itu dapat dijalankan secepat mungkin supaya ia memberi pengajaran kepada orang lain," kata ibu kepada dua anak ini di Ipoh, Perak, Rabu lalu.

Kartika bakal bergelar wanita Islam pertama dihukum sebat di bawah Seksyen 136, Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982.

"Tiada siapa yang paksa saya supaya meminta hukuman itu dilaksanakan segera. Ia lahir daripada rasa keinsafan yang amat mendalam," katanya.

Terlepas daripada hukuman penjara, Kartika telah melunaskan bayaran denda RM5,000 itu.

Bagaimanapun, peristiwa beliau dicekup pihak berkuasa ketika asyik meneguk minuman keras itu benar-benar meninggalkan kesan mendalam.

"Semua ini ketentuan Allah. Saya dibalas kerana terleka serta memandang ringan soal agama meskipun sudah dididik supaya menjauhi arak.

"Jika saya tidak ditangkap, mungkin saya masih hanyut dalam keseronokan dunia," katanya.

Berasal dari Sungai Siput, Perak, Kartika dibesarkan dalam keluarga yang mementingkan nilai kekeluargaan serta kewajipan sebagai seorang Islam.

Bapanya, Shukarno Abdul Mutalib, 60, seorang pengusaha resort di Kuala Kangsar, adalah seorang yang kuat agama.

Mendirikan rumah tangga dengan warga Singapura, Mohamad Afendi, 35, Kartika mengakui insiden di Cherating itu adalah kali pertama dan terakhir beliau minum arak.

Ia tidak kena-mengena dengan kerjayanya sekarang iaitu model sambilan di Singapura, negara yang telah didiaminya selama 15 tahun.

Wanita ini bernasib baik kerana keluarga terutama ibu, bapa dan suaminya menerima kejadian itu dengan hati terbuka.

Dalam satu pertemuan dengan Jurnal Jumaat lalu, Shukarno tanpa berselindung mengakui hatinya bagaikan ditusuk dan direntap tatkala mengetahui anak yang diasuhnya dengan nilai-nilai keagamaan itu telah melakukan satu dosa besar.

"Luluh hati saya kerana semua sembilan anak saya termasuk Kartika diberikan ilmu agama yang sepatutnya mampu membawa mereka ke jalan yang diredai Allah.

"Namun, saya tahu dia hanya tergelincir dan menjadi kewajipan saya sebagai wali, 'membawanya pulang'.

"Anak lelaki saya, Subandrio dan seorang lagi anak perempuan bersama suaminya, juga tinggal di rumah yang sama dengan Kartika di Singapura. Pendek kata, segala pelakuan Kartika pasti diketahui adik-beradiknya yang lain," katanya.

Tidak mahu dianggap riak apatah lagi dicap sebagai individu yang mahu memperbesar-besarkan tindakan anaknya yang mahu hukuman sebat itu dipercepatkan, Shukarno percaya apa yang berlaku ada hikmahnya.

"Saya dan keluarga tidak pernah memujuk atau mendesak Kartika supaya reda dengan hukuman itu.

"Jika sepanjang dua tahun ini dia boleh turun naik mahkamah, mengapa perlu mengelak untuk menerima hukuman?

"Sebagai seorang Islam dan menjunjung kedaulatan undang-undang, Kartika tidak perlu takut menghadapinya," katanya.

Sumber : www.kosmo.com.my 26hb Julai 2009

ULASAN:
Sesungguhnya detik paling bernilai dalam kehidupan seorang insan bermula apabila dilantunkan taubat sehingga berguguran butiran airmata yang diperah dari segenap perasaan yang mengaku berdosa. Taubat bukan hanya milik orang yang berdosa sebaliknya ia juga satu amalan para Nabi, Rasul, orang soleh dan pejuang ilmu yang mengamalkan agamanya dengan segenap pengorbanan. Junjungan Mulia Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallammengajarkan kepada kita untuk sentiasa berasa hina di hadapan Allah walaupun selepas berada pada kemuncak amal yang paling ikhlas.

Taubat mendorong seorang bekas model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarnor, 32 tahun sehingga mahu hukuman sebatan atas kesalahan meminum arak yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan mengikut Seksyen 136, Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 (Pindaan 1987) dipercepatkan. Akhbar Harian Metro pada 23hb Julai 2009 melaporkan bahawa model sambilan kelahiran Sungai Siput yang menetap di Singapura sejak 15 tahun lalu menyatakan keinsafan. “Saya akan terima hukuman di dunia. Hukuman di akhirat kelak biar Allah SWT yang menentukannya. Saya menghormati keputusan mahkamah dan mengaku itu kesalahan saya, bukannya kesalahan ibu bapa, keluarga saya atau orang lain. Justeru, saya memohon mahkamah mempercepatkan hukuman sebatan itu memandangkan mahkamah belum memberitahu bila hukuman ini akan dijalankan” [www.hmetro.com.my, 23hb Julai 2009]. Beliau yang juga dikenakan denda RM 5,000 telah melunaskan pembayaran pada hari Isnin, 20hb Julai 2009.

Anehnya, ketika pesalah menerima hukuman dengan redha dan meminta dipercepatkan hukuman yang dikenakan sebagai ‘balasan’ di dunia, tindakan Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan telah menimbulkan kontroversi. Mstar Online bertarikh 23hb Julai 2009 melaporkan bahawa seorang individu awam, Datin Malina Su Malik yang merupakan bekas tentera berpangkat kapten melahirkan rasa tidak puas hati dan ingin membuat petisyen sebagai bantahan terhadap hukuman ke atas model kelahiran Sungai Siput yang dianggap tidak adil dan amat melampau. Alasan yang dikemukakan ialah beliau melihat gambar orang Islam sedang minum arak dipaparkan dalam majalah tetapi mereka tidak dikenakan tindakan atau hukuman yang sama. Akhbar yang sama memetik bahawa pada hari sebelumnya, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Ahli Parlimen Titiwangsa, YB Dr Lo’Lo Mohd Ghazali juga tidak bersetuju dengan hukuman tersebut. Artikel Themalaysianinsider.com bertarikh 23hb Julai 2009 dengan tajuk-tajuk ‘Outrage Over Caning for Model’ dan ‘Syariah Lawyers Association Regrets Shahrizat’s Statement on Whipping of Model’ melaporkan bahawa YB Dr Lo’Lo telah dipetik sebagai berkata bahawa hukuman hendaklah bertujuan untuk mendidik, bukan mencederakan.

Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Musa Awang yang kesal dengan kenyataan dari kedua pemimpin wanita itu berkata bahawa adalah tidak wajar kedua-dua tokoh berkenaan mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana ia seolah-olah mencabar dan menghina keputusan mahkamah. Alasan yang dikemukakan oleh Musa adalah hukuman enam sebatan yang dikenakan ke atas Kartika masih ringan berbanding hukuman berdasarkan hukum syarak yang membolehkan pesalah dihukum sehingga 40 sebatan sebagaimana pada zaman Nabi MuhammadSalallahu Alaihi Wasallam dan para sahabat. Beliau turut menjelaskan bahawa sungguhpun tiada peruntukan hukuman sebatan menurut mahkamah sivil, perlu ditegaskan bahawa dalam Islam, tiada beza antara pesalah lelaki dan wanita [Utusan Online, 24hb Julai 2009].

Dr Lo’Lo Mohd Ghazali dalam kenyataan akhbarnya melalui laman web www.harakahdaily.net bertarikh 24hb Julai 2009 menjelaskan bahawa ada pihak yang melihat komen suci hatinya dari konteks yang lain. Beliau seterusnya menjelaskan bahawa dia terkejut dengan hukuman yang dijatuhkan ke atas model itu bukan kerana tidak bersetuju, sebaliknya melahirkan kehairanan kerana ada juga Mahkamah Syariah di Malaysia yang berupaya menghukum pesalah dengan hukuman sebegitu walaupun peruntukan tersebut telah lama ada.

Walaupun hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan ini dipersetujui oleh banyak pihak seperti Ahli Parlimen Titiwangsa, juga Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Nooh Gadut, Datuk Abu Hassan Din Alhafiz, Presiden Pertubuhan Muslim Antarabangsa (Malaysia), Dr Rubiah Hamzah dan Mufti Perak dan Tan Sri Harussani Zakaria [www.bharian.com.my, 24hb Julai 2009], persoalan yang hendak dikemukakan di sini ialah, adakah cukup sekadar menghukum pesalah menurut peruntukan sedia ada?

Meminum arak (khamar) adalah satu kesalahan jenayah di bawah hukuman Hudud. Empat orang Mujtahid pengasas Mazhab terkemuka dalam Islam berpendapat bahawa peminum khamar dikenakan hukuman hudud.

Mazhab Syafie.
i. Imam Nawawi: dikenakan hudud ke atas peminumnya melainkan kanak-kanak, orang gila, Kafir harbi dan Zimmi [Mughni Muhtaj IV:187]. Ungkapan yang sama dalam Tahfatul, Nihayatul dan Mughni Muhtaj. Hanya dalam kitab Tahfatul Muhtaj ditambah dengnan Mu’ahad: Harbi, Muahid kerana tidak terikatnya Zimmi, maka tidak terikat kerana adami [Nihayatul Muhtaj, VIII:12].

ii. Muhazzab: Jika mereka (kafir zimmi) berpegang bahawa arak itu dibolehkan maka tidak dikenakan (hudud) ke atas mereka kerana mereka tidak berpegang pada keharamannya, maka tidak boleh dikenakan (had) seperti kekufuran mereka tetapi jika mereka menzahirkan hal tersebut maka hendaklah ditakzir kerana mereka telah menzahirkan kemungkaran dalam Negara Islam [Muhazzab II:256].

Mazhab Hambali
i. Al-Iqna’ : Jika seseorang telah meminumnya itu merdeka, Muslim, Mukkalaf, sukarela dan tahu bahawa kalau banyak ianya memabukkan samada daripada jus anggur, atau dari lain-lain yang memabukkan, sedikit atau banyaknya, meskipun tidak memabukkan peminumnya maka hendaklah dihudud 80 kali sebatan. [Iqna’, Syariffuddin IV:267]

ii. Tidak dikenakan zimmi kerana minum arak, namun jika mabuk dikenakan hudud. Pendapatku jika mabuk dikenakan had, tapi sebaliknya tidak. [ Maharrar II : 163]

iii. Tidak dikenakan had ke atas orang kafir yang minum [ Al-gayatul Muntaha III : 313]

Mazhab Maliki
i. Malik berkata “Jika ahli kitab dijumpai minum arak atau melakukan zina, mereka dibiarkan (tanpa hukuman), kecuali mereka menzahirkannya maka mereka akan dihukum. [A-Mudawanatul Kubra 4:256]

ii. Jika orang kafir ditemui mabuk maka dibiarkan kecuali jika dizahirkan perbuatannya (minum arak secara terbuka). [ Al-Mudawwanah 4:256]

Mazhab Hanafi
i. Maka tidak akan dikenakan hukuman hudud ke atas zimmi, harbi dan musta’min kerana minum dan tidak juga kerana mabuk pada zahir riwayat [Badai’ Sanai’ 7:39]

ii. Ungkapan Al-Hakim dalam Kafi tentang minum, “Tidak ada had ke atas zimmi jika minum” [Hasyiyatul raddul Muktar 4:37]

Dari penjelasan di atas, pesalah yang disabit kesalahan kerana minum khamar hendaklah dikenakan sebatan menurut hukum hudud, bukan menurut undang-undang selainnya. Malah, sebahagian mazhab berpendapat bahawa jika orang kafir zimmi yang menzahirkan perbuatan minum arak di tempat umum hingga mabuk dikenakan hudud, apatah lagi jika orang Islam yang melakukannya. Malangnya, negara yang diperintah dengan sistem perundangan yang digubal berasaskan ‘Common law’ British ini telah menyebabkan umat Islam cuba menerapkan Islam bukan berdasarkan hukuman hudud tetapi mengatas-namakan ‘demi untuk pengajaran’, bukan untuk mencapai maqasid syar’iyyah iaituzawajir (pencegah) dan jawabir (penebus). Contohnya hujah yang dikemukakan Persatuan Peguam Syarie pada 30hb Julai 2009 di laman web http://peguamsyarie.org menerusi artikel Hukuman tegas terhadap model bertujuan pengajaran menjelaskan bahawa “sebarang bentuk hukuman sama ada denda, sebatan atau penjara, semuanya hendaklah dalam bentuk untuk memberi pengajaran kepada pesalah, bukannya untuk mendera atau menyebabkan kecederaan kepada pesalah” menunjukkan bahawa bukan hukuman Allah yang hendak dilaksanakan sebaliknya hanya melakukan sesuatu dari sekadar melepas batuk di tangga.

Ketiadaan sistem pemerintahan Islam yang mana seluruh hukum-hakam dilaksanakan secara keseluruhan telah menyebabkan manusia berada dalam keadaan sempit dan hina. Ketiadaan pemimpin/imam/khalifah yang melaksanakan hukum hakam Islam secara keseluruhan dan tiadanya kawalan masyarakat untuk melaksanakan amar makruf nahi munkar menyebabkan taqwa sebagai satu-satunya yang mendorong individu dan kelompok umat Islam untuk tunduk kepada syariat Islam dan redha dengan hukuman yang dijatuhkan. Semoga penegakkan semula Khilafah Islamiyyah sebagaimana hadis berstatus mutawatir bil makna riwayat Imam Ahmad bin Hanbal iaitu “... dan akan muncul kembali kekhilafahan atas minhaj (jalan) kenabian” tidak sekadar memberi kesejahteraan kepada seluruh warga negara sama ada Muslim atau bukan Muslim di dunia. Malah ia akan juga membawa kesejahteraan kepada umat Islam di akhirat apabila hukum-hakam dilaksanakan dengan benar menurut syariat Islam sesuai dengan firman Allah Subhanahu wa Taala dalam Surah Al Mulk ayat 2: Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya.
Wallahu ‘alam bisshawab.

-sumber : www.mykhilafah.com

0 comments:

Leave a Comment

Back to Home Back to Top Cahaya Pelindung. Converted Blogger Templates by pure-essence.net. Bloggerized by Chica Blogger.